CARA ELAK DITIPU KETIKA MELANCONG

Adalah sesuatu yang sangat menyakitkan hati apabila ketika melancong anda mendapati telah ditipu. Kebanyakan daripada mereka tidak menyedari akan keadaan tersebut dan baru tersedar selepas ditipu. Banyak cara digunakan untuk menipu bergantung kepada tempat. Lain tempat lain caranya, lain gayanya. Antara penipuan yang kerap berlaku kepada mereka yang dianggap sebagai pelancong adalah, penyeluk saku, tiket palsu, tambang teksi melampau dan lain-lain lagi. 

Langkah Jauh akan cuba senaraikan jenis-jenis penipuan dan cara untuk menghidarkan diri anda daripada ditipu. 

1. PENYELUK SAKU

Penyeluk saku akan berada di merata tempat ketika anda melancong, jadi perlu sentiasa berhati-hati terutama ketika 'berlanggar bahu' dengan orang yang tidak dikenali. Antara tempat-tempat yang kerap terjadinya kejadian seluk saku adalah di plaza-plaza yang sesak, kawasan tumpuan ramai dan tren keretapi. 

Selalunya, penyeluk saku ini bekerja secara berkumpulan. Seorang akan cuba mengalih perhatian anda manakala seorang lagi akan cuba menyeluk beg duit / telefon bimbit di dalam beg atau poket seluar anda. 

Selain daripada itu, terdapat juga penyeluk saku yang lebih jahat iaitu meragut. Mangsa utama mereka adalah kaum perempuan yang membawa beg tangan. 

Bagaimana untuk elak?
Jadikan kerja mereka sukar untuk dilakukan! Jika anda memakai jaket, letak beg duit / telefon bimbit atau dokumen penting seperti passport di bahagian poket depan. Hal ini akan mengelakkan anda daripada menjadi mangsa mereka. Faktanya, anda lebih cepat merasa pergerakan jika terdapat sesuatu pergerakan di poket sisi kiri dan kanan, jadi poket tersebut merupakan tempat yang selamat untuk barang yang berharga.

Bagi mereka yang membawa beg tangan, jangan gemar berjalan mengikut arah pergerakan kenderaan yang sama. Cuba berjalan secara berlawan arus dan jangan terlalu rapat pada jalan kerana peragut selalunya akan menaiki motor dan terus merentap beg tangan anda.

2. TIKET PALSU
Bayangkan anda ingin menyaksikan perlawanan bola sepak antara Manchester United vs Liverpool di Old Trafford dengan tiket berharga $30. Tiba-tiba ada seseorang yang datang kepada anda dan menyatakan dia menjual tiket perlawanan hanya pada harga $5. Dah tentu anda mahu harga tiket yang murah bukan?

Bagaimana untuk elak?
Secara jujurnya, orang yang ditipu membeli tiket palsu dianggap terlalu bodoh. Walau apa pun tiket yang anda beli, tidak kira tiket bola, muzium, keretapi dan lain-lain, belilah di kaunter tiket yang sah dan sepatutnya, bukan daripada individu yang kehulu-kehilir mencari pembeli. Sebelum membeli tiket, cuba bertanya pada orang sekeliling harga tiket yang ingin dibeli dan bandingkan. Mudah bukan?

3. TAMBANG TEKSI TERLALU MAHAL
Selalunya perkara ini terjadi pada mereka yang baru pertama kali ke sesuatu tempat. Selalunya pemandu teksi akan bertanyakan dua soalan pertama iaitu "Hendak ke mana?" & "Pertama kali datang ke sini?". Soalan itu merupakan soalan 'pemecah rahsia' anda kepada pemandu teksi yang disyaki menipu. 

Jika pemandu teksi tersebut sudah mengetahui bahawa anda tidak tahu menahu tentang sesuatu tempat yang ingin dituju, pasti perjalanan 10 minit anda akan menjadi 30 minit. Jika masa pun sudah berubah, sudah tentu tambang juga akan berubah. Mereka akan cuba membawa anda ke sesuatu tempat menggunakan jalan yang agak jauh, tidak seperti kebiasaan. 

Bagaimana untuk elak?
Pada artikel 5 PERKARA YANG ANDA PERLU TIPU KETIKA MELANCONG ada menyatakan bagaimana caranya untuk mengelak anda daripada menjadi mangsa 'cekik darah' pemandu teksi ini.

4. BAKI TAMBANG TEKSI
Satu lagi masalah apabila menaiki kenderaan awam. Tiada tukaran wang kecil. Cara paling mudah untuk menipu adalah mengatakan 'tiada tukaran wang kecil'. Anda pun dengan senang hati akan mengatakan baki duit tersebut diambil sahaja. 

Bagaimana untuk elak?
Apabila anda memutuskan untuk menaiki kenderaan awam, cuba untuk mempersiapkan sedikit duit yang kecil nilainya, sesuai untuk kegunaan tambang kenderaan. Walaupun nampak remeh, sebenarnya ia amat mempengaruhi perbelanjaan anda terutama bagi mereka yang ingin 'low cost travel budget'. 

5. BANTUAN MENGANGKAT BAGASI

Sebaik sahaja anda melepasi pintu pemeriksaan passport, pasti ada individu yang menawarkan perkhidmatan mengangkat bagasi anda untuk dibawa ke sesuatu tempat seperti ke teksi. 

Bagaimana untuk elak?
Sebaiknya, JANGAN! Jangan biarkan anda membazir duit sebegitu sahaja kerana memberi upah kepada orang yang mengangkat bagasi anda yang tidak seberapa itu. Andai dari mula anda boleh membawa sendiri bagasi tersebut, mengapa perlu ada orang lain yang menolong anda angkat bagasi tersebut. Tiada pertolongan seperti itu yang percuma, melainkan pemandu teksi yang telah anda setuju untuk mereka hantar ke tempat yang dituju. 

6. MESIN ATM
Seringkali terjadi kes penipuan kad kredit / atm di seluruh negara. Antara salah satu modus operandi mereka adalah di mesin ATM sendiri. Kadangkala, terdapat kamera litar tertutup yang telah disorokkan di mesin ATM tersebut dan segala data anda dapat dilihat secara terus tanpa anda sedari termasuklah kata laluan akaun bank anda. 

Bagaimana untuk elak?
Sebaik-baiknya, pergilah ke mesin ATM yang sah yang sememangnya terdapat di dalam bank. Cuba elakkan mengeluarkan duit di mesin ATM yang menjadi 'sub' kepada bank lain. Andai tiada pilihan, cuba lindung sedikit dengan tangan ketika anda menekan kata laluan. 

7. PENIPUAN TUKARAN WANG
Selalunya penipuan ini berlaku dikalangan peniaga. Kadangkala, anda membeli sehelai baju yang asalnya sekitar $5-10 sahaja tetapi kerana tidak tahu tukaran wang, anda ditipu bulat-bulat harga baju itu sekitar $15-20. 

Bagaimana untuk elak?
Cuba buat sedikit rujukan di internet tentang kadar tukaran wang semasa di sesuatu negara. Lebih baik, anda cetak satu helaian kertas tentang pengiraan tukaran mata wang dan bawa ke mana-mana untuk rujukan. 

8. KANAK-KANAK MINTA DUIT
Perkara ini sebenarnya benda yang paling susah untuk dibuat keputusan. Siapa yang tidak kasihan melihat kanak-kanak yang datang dengan muka comot, pakaian kusut masai meminta wang pada anda?. Pasti rasa kasihan akan datang dan anda akan hulur sedikit wang kepada mereka.

Bagaimana untuk elak?
Bukanlah tidak elok untuk menderma, tetapi kebanyakan daripada mereka adalah mereka yang mengambil kesempatan dan mempergunakan kanak-kanak sebagai umpan. Memang sifat manusia akan mudah rasa kasihan terutama rakyat Malaysia. Sebab itu ramai mereka yang meminta derma kerana sifat pemurah rakyat Malaysia.  

Cara terbaik adalah memberi atau belikan makanan atau minuman kepada mereka jika memang betul mereka dalam kesusahan. Jika duit juga dipintanya, anda boleh berfikir bukan?.
KONGSI DI GOOGLE PLUS

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 KOMEN:

Catat Ulasan