Melancong ke sesuatu tempat memang amat menyeronokkan kerana ia bukanlah tempat yang biasa untuk anda. Mungkin tempat itu anda dapat jejakkan kaki hanya sekali seumur hidup. Perasaan seronok itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bukan semua orang boleh pergi ke Paris, Barcelona, Rio, Rom & lain-lain.
Selalunya, di tempat yang menjadi tumpuan pelancong akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menipu pelancong. Pasti ada! Anda sebagai pelancong perlu mengelakkan perkara tersebut daripada terjadi kepada anda.
Kadangkala, anda perlu menipu untuk mengelakkan anda menjadi mangsa penipuan. Terdapat situasi dimana ia adalah satu idea yang baik untuk melakukan perkara tersebut. Sebagai pelancong, anda akan sentiasa terdedah kepada penipuan, gangguan dan banyak pengalaman dahsyat lain yang akan menjadikan percutian anda mimpi ngeri yang tidak mahu diulang lagi.
Bagaimana dengan menipu, ia boleh menyelamatkan anda? Kami akan berkongsi 5 perkara yang mungkin dapat menyelamatkan anda daripada menjadi mangsa penipuan ketika melancong.
1. "TIDAK, INI BUKAN KALI PERTAMA SAYA KE SINI"
Pembohongan ini boleh digunakan dalam pelbagai situasi dan untuk mengelakkan penipuan yang tidak menyenangkan seperti anda mengambil perkhidmatan teksi di lapangan terbang.
Apabila anda mengambil teksi dari lapangan terbang, pemandu teksi tersebut mungkin akan mengenakan tambang yang berlebihan daripada biasa kerana anda mengatakan anda tiba di sana untuk pertama kalinya. Walaupun anda mungkin boleh terlepas kata mengatakan ya, anda boleh menggunakan pengetahuan umum yang anda tentang tempat itu seperti anda telah berada di situ sebelum ini. Jika pemandu teksi itu mengetahui anda berada di situ buat pertama kali, mungkin perjalanan anda akan menjadi panjang kerana pemandu teksi akan membawa anda ke jalan yang lebih jauh dan anda akan membayar tambang teksi yang lebih mahal. Jika pemandu teksi tahu anda pernah berada di situ sebelum ini, mereka akan terus membawa anda ke tempat yang hendak dituju.
Sama juga apabila anda bertemu penduduk tempatan di sana. Sememangnya ada seorang dua individu yang memang berniat untuk menipu. Cara ini juga boleh diguna pakai untuk mengelakkan anda ditipu.
2. "YA, SAYA MEMPUNYAI TEMAN LELAKI"
Ini adalah ayat yang perlu digunakan untuk pelancong wanita yang bergerak secara solo di luar sana dan ia boleh mengalihkan perhatian penipu / si pengganggu.
Jika terdapat seorang lelaki yang menjengkelkan kamu dan masih lagi menggangu anda, beritahu beliau bahawa anda mempunyai teman lelaki. Cara terbaik adalah ambil gambar bersama rakan lelaki anda sebelum anda pergi bercuti dan tunjukkan gambar-gambar tersebut kepada si pengganggu tersebut sebagai bukti. Reka sesuatu cerita yang nampak seperti benar bagi menakutkan si pengganggu dan mengelakkan gangguan yang tidak sepatutnya.
3. "MAAF, SAYA TIDAK INGAT NAMA TEMPAT PENGINAPAN SAYA"
Jika anda bertemu seseorang yang sangat berminat untuk mengetahui tentang diri anda, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya dan tidak mendedahkan maklumat-maklumat penting yang mungkin akan menjadi penyebab anda dalam bahaya.
Jika seseorang itu bertanya anda tinggal di mana sepanjang percutian, cuba untuk berpura-pura bahawa anda lupa nama penginapan yang anda tinggal ataupun beri nama lain yang agak samar-samar.
Perkara terakhir yang ingin diketahui jika sesuatu perkara yang tidak elok hendak dilakukan adalah bertanyakan tempat tinggal.
4. "TIDAK, SAYA TIDAK FASIH BAHASA INGGERIS"
Di sesetengah tempat di dunia, scammer sangatlah ramai dan tidak dapat dibendung. Dalam keadaan ini, perkara yang paling senang untuk anda mengelak daripada menjadi mangsa penipuan mereka adalah memberitahu mereka bahawa anda tidak pandai berbahasa Inggeris.
Cara ini merupakan cara yang paling mudah untuk anda mengelak daripada mereka dan menghalang mereka daripada menipu anda. Jika mereka cuba untuk mengetahui bahasa yang anda cakap, cuba angkat bahu berulang kali tanda anda tidak mengetahui / tidak faham percakapan mereka sehingga mereka merasa putus asa dan pergi begitu sahaja.
Cara ini boleh diamalkan di bandar-bandar besar seperti Paris, Barcelona, New Delhi, Ho Chi Min & lain-lain yang terkenal dengan lambakan scammer.
5. "SAYA MELANCONG BERSAMA RAKAN SAYA"
Kepada mereka yang suka melancong secara solo, ayat ini sangatlah disarankan untuk digunakan apabila bertemu dengan mereka yang diragui niatnya. Jika anda berada dalam keadaan tidak selesa dan mereka masih lagi menghimpit anda untuk bertanyakan sesuatu perkara yang menggugat keselamatan anda, cuba cara ini.
Beritahu mereka anda datang bersama rakan-rakan anda dan mereka akan tiba sebentar lagi, sedangkan anda keseorangan sahaja. Dengan cara ini, anda boleh menghindarkan diri anda daripada menjadi sasaran mudah untuk ditipu atau diganggu, terutamanya pengembara perempuan.
bagus tips ni.. hehehehe.. memang bila melancong, tips2 keselamatan mcm ni yang saya cari.. :)
BalasPadamnak share link entry ni di blog saya ye... terima kasih..
silakan..sama2 kita berkongsi ilmu yang ada..:)
Padam