Pada zaman 90-an, jarang kita dengar tentang cerita hebat tentang aktiviti pergunungan. Mungkin pada masa itu kurangnya teknologi canggih ataupun Facebook / Friendster masih lagi dipandang sepi sebagai medium untuk berkongsi aktiviti ini. Tetapi kini, menjengah 2016, aktiviti ini seakan telah menjadi 'trend' wajib bagi setiap orang terutama bagi anak muda.
Ya, memang diakui, aktiviti mendaki gunung / bukit, meredah hutan, mandi air terjun aktiviti yang sangat sihat dan menyeronokkan. Apabila kita bergaul dengan alam, ia adalah detik yang bukan semua orang dapat rasakan. Sebab itu ia dikatakan antara aktiviti untuk terapi terbaik bagi kita terutama bagi mereka yang hari Isnin-Jumaat nya sibuk dengan kerja harian dan memerlukan Sabtu & Ahad yang sangat berkualiti.
Cuma, ada beberapa perkara yang saya kesalkan apabila aktiviti ini semakin dikenali dan diminati ramai orang. Antaranya :-
1. ILMU HUTAN & PERSIAPAN
Mungkin ramai yang perasan, sekarang semakin banyak kumpulan pendaki yang tumbuh bagaikan cendawan dengan satu matlamat, ingin mengumpulkan mereka yang mempunyai minat yang sama dalam aktiviti ini. Namun, kerap kali juga kita sering mendengar insiden-insiden yang tidak diingini berlaku seperti pengsan, terjatuh dalam gaung, lemas & macam-macam lagi yang sepatutnya boleh dielakkan jika secara asasnya ilmu hutan ada di dalam fikiran dan hati kita.
Contohnya, jika ingin berkhemah di dalam hutan, sekurang-kurangnya kita tahu apa peralatan yang perlu dibawa untuk perkhemahan di dalam hutan. Contohnya, sudah tahu mahu bermalam di dalam hutan, torchlight / headlamp pun tidak dibawa, kemudian menyusahkan rakan lain yang terpaksa meminjamkan kepada kita.Ada juga segelintir yang tidak langsung membuat persiapan dari segi ilmu, mental & fizikal. Bukan apa, jika berlaku kecemasan di dalam hutan, bukan mudah bantuan datang dengan segera dan silap-silap langsung tidak muncul tiba. Apa yang perlu anda buat jika seseorang rakan anda terkena sengatan serangga sehingga kebas anggota badan? Ia situasi yang sangat menakutkan jika tiada ilmu asas untuk merawat sengatan tersebut, tetapi jika ada ilmu, anda boleh gunakan colgate ataupun tanah sebagai 'ubat' sementara sengatan tersebut. Ini adalah pengalaman yang baru-baru ini saya alami disengat penyengat di tangan. Dengan ilmu, anda akan tahu apa fungsi colgate / tanah dalam merawat sengatan tersebut.
2. KEBERSIHAN
Ini sikap yang paling susah hendak dididik dalam diri setiap pendaki. Saya yakin, bagi mereka yang sudah ada pengalaman dalam pendakian, mereka tahu kebersihan itu sangat penting. Bagi yang pertama kali, anda perlu pegang ayat ini "Pandai bawa naik, pandai bawa turun !!!". Selalu saya terjumpa apabila tiba di sesetengah camp site , banyak sampah yang dilonggokkan di camp site tersebut dengan harapan mereka yang PEMALAS itu, ada pekerja membawa turun sampah tersebut untuk mereka. Selalu saya ingatkan pada rakan-rakan yang bersama dengan saya apabila berkhemah di dalam hutan, jangan tinggalkan apa-apa pun sampah di dalam hutan. Jika sisa makanan, anda korek lubang dan tanam elok-elok sisa makanan tersebut supaya tidak dikorek semula oleh haiwan liar. Ingat, plastik tidak boleh terurai!.
Jika kita menjaga kebersihan sepanjang perkhemahan, saya yakin, pasti tidak ada berlaku perkara yang kurang enak seperti 'dijengah' beruang ataupun haiwan-haiwan lain yang sememangnya amat peka dengan bau makanan yang asing bagi mereka. Maklumlah sudah biasa dengan makanan hutan, tiba-tiba bau ayam goreng, memang akan menarik perhatian mereka lah jawabnya.
3. SIKAP
Saya tidak pasti orang muda zaman sekarang mendaki gunung semata-mata untuk menikmati alam semula jadi ataupun mengejar nama supaya dipanggil 'otai'. Sikap itu semakin menjadi-jadi pada masa kini. Kalau boleh, persiapkan diri dengan ilmu-ilmu asas dari segi perubatan, mental, fizikal, ikhtiar hidup dan lain-lain lagi apabila mendaki / berkhemah. Mungkin bagi mereka, makin banyak gunung yang didaki, makin tinggi mereka diangkat sebagai otai. Sikap ini kena tanya pada diri masing-masing.
Itu belum lagi dengan segelintir mereka yang bersikap 'monyet' dengan menconteng batu-batu ataupun papan tanda terutama di puncak gunung. Manusia begini saya tidak tahu bagaimana nak ajar mereka supaya tidak gatal tangan menconteng. Mungkin dengan menconteng nama mereka, mereka mahu semua orang tahu bahawa mereka pernah sampai ke tempat tersebut. Aduhai, tepuk dahi sahaja yang mampu!.
4. OBJEKTIF
Apa objektif sebenar anda mendaki / berkhemah?. Andai saya, saya lakukan semua ini semata-mata ingin bersama rakan-rakan yang punya citarasa yang sama berkongsi kenikmatan alam semula jadi. Bagi saya, ini adalah masa yang terbaik untuk saya berkumpul bersama rakan-rakan yang masing-masing sibuk dengan tugas hakiki mereka. Banyak perkara baru yang dipelajari apabila kita berada di hutan. Ada juga perkara yang kadangkala membuatkan kita tersedar betapa bertuahnya hidup kita berbanding orang lain. Anda perlu berkhemah di dalam hutan yang tiada hubungan telefon / internet, anda akan tahu betapa berharganya masa anda bersama rakan-rakan anda pada ketika itu. Tidak percaya?. Cubalah!
Banyak lagi ingin saya kupas. Mungkin di lain masa dan artikel akan saya kongsikan dengan anda. InshaAllah. Ingat, DUNIA INI LUAS, KITA BUKAN TUHAN, BUKAN PEMILIK, HANYA PENGHUNI !!
0 KOMEN:
Catat Ulasan