Seorang lelaki di Thailand telah menjadi mangsa terbaru virus Zika yang kini telah diisythiarkan oleh WHO sebagai darurat global. Menurut pihak berkuasa, jangkitan virus itu yang berpunca daripada bawaan nyamuk dikatakan punca peningkatan kecacatan kelahiran serius di Amerika Selatan. Lelaki tempatan berusia 22 tahun itu kemungkinan dijangkiti jenis virus sama yang mencetuskan panik di negara Amerika Selatan seperti Brazil dan Colombia.
Timbalan Marsyal Udara yang merupakan Pengarah Hospital Adulyadei Bhumibol, Santi Srisermpoke, mengesahkan kepada media bahawa virus itu "disahkan menerusi ujian darah".
"Gelaja yang dikesan daripada jangkitan virus ini adalah demam, ruam dan mata merah," katanya sambil menambah bahawa lelaki itu tidak pernah berkunjung ke luar negara.
Beliau berkata, pesakit itu juga sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital, tanpa memberi butiran lanjut berapa lama dia dirawat di hospital atau bila dijangkiti virus terbabit.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Awam, Amnuay Gajeena berkata ada kemungkinan virus itu adalah jenis sama yang ditemui di Amerika Selatan.
"Ia bukanlah satu penyakit yang baru di Thailand. Kami sudah mendapat kes pertama yang disahkan penyakit yang sama pada tahun 2012. Sejak itu, kami mencatat purata tidak lebih lima kes setahun. Jangan panik. Kami tidak pernah mendapat epidemik virus Zika di Thailand oleh kerana semua kes tidak berulang," katanya.
Nyamuk Aedes aegypti yang menyebabkan jangkitan denggi, membawa virus Zika dan dikaitkan dengan mikrosefali iaitu keadaan yang mana bayi yang dilahirkan dengan otak jauh lebih kecil. Ia membiak di kawasan tropika termasuk Thailand yang menyaksikan peningkatan kes denggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kali pertama virus ini dikesan adalah di Afrika pada tahun 1947, Zika dianggap penyakit ringan sehingga wabak terkini diisytiharkan di Amerika Latin pada tahun lalu.
Sumber: AFP
0 KOMEN:
Catat Ulasan